Baling, 1 Ogos 2019 - Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Mej Mohd Rodzaly bin Abdul Rahman TUDM melakukan lawatan kebajikan terhadap veteran ATM dan balu veteran seperti berikut;

1.  Veteran Nurul Aina binti Mohd Sabry (5003579)-Ex RSD yang menetap di Kampung Becah Sawa, Baling, Kedah. Pihak JHEV ATM Cawangan Negeri Kedah/Perlis/Pulau Pinang (KPP) telah menerima laporan bahawa veteran ini mempunyai masalah kewangan kerana terpaksa melakukan rawatan kimoterapi di IPPT, Bertam, P.Pinang 3 kali sebulan berikutan mengidap kanser hidung tahap 4 sejak 2 tahun yang lalu. Hasil siasatan mendapati beliau telah berhenti 15 tahun dan telah bercerai serta masih menanggung 3 anak yang masih bersekolah. Veteran berumur 38 tahun juga mengalami masalah tidak dapat berjalan sempurna kerana masalah tempurung lutut kanan akibat kemalangan pada tahun 2014.  Pihak JHEV ATM Cawangan Negeri KPP telah menerangkan mengenai bantuan dan skim kebajikan yang boleh dimohon oleh beliau bagi meringankan beban yang ditanggung.

 

2. Lawatan terhadap laporan yang tular di media sosial iaitu puan Salbiah binti Samsudin yang merupakan balu kepada veteran allahyarham Mohammad Kassim bin Yahaya (1044904). Balu berumur 39 tahun dan kini sedang dirawat di Hospital Baling akibat paras gula tinggi. Selain daripada penyakit Kencing Manis, balu juga mengalami lumpuh sepenuh badan dan tidak mampu menguruskan diri sendiri. Beliau tinggal sebatang kara dirumah pusaka setelah kematian suami dan setakat ini hanya sepupu beliau yang menguruskan balu ini, namun jarak rumah yang jauh membantutkan usaha beliau untuk menjaga balu. Beliau masih menerima pencen terbitan sebanyak RM 1,600 sebulan sehingga tahun 2024 (berkahwin selepas perkhidmatan) dimana beliau juga menanggung adik beliau yang mempunyai masalah sakit mental. Adik beliau kini dijaga oleh pusat jagaan swasta di Ipoh,Perak dan dibayar oleh balu daripada pencen terbitan sebanyak RM 600 sebulan. Pihak JHEV KPP seterusnya telah berjumpa pegawai JKM Daerah Baling untuk membincangkan berkaitan penjagaan balu yang hidup sebatang kara ini dan beberapa cadangan daripada pegawai JKM tersebut termasuk memohon ditempatkan di Rumah Ehsan dibawah JKM atau di Rumah Jagaan swasta yang terdapat di Kulim atau Sungai Petani, kedah. Pihak JHEV KPP juga akan memproses untuk mendapatkan peralatan pesakit terutama katil hospital serta akan berhubung dengan pihak JKM dengan lebih lanjut bagi penempatan/penjagaan terhadap balu ini.

LampiranSaiz
02.jpg164.94 KB
03.jpg164.61 KB